photo allkarya_zpsxsfjfgmj.png

Bermula Daripada Pena Penghujung Mata, Dia Mula Mencetus Ilham Dan Menyusun Kata. Setiap Lorekan Mengandungi Bicara Yang Terkandung Seribu Satu Rahsia. Hanya Di Sini Dicurahkan Rasa Hati, Pendapat Peribadi Tentang Hakikat Duniawi Dan Di Sana, Alam Yang Kekal Hakiki.


- Weeda Airiza -



Luar Pena

Arkitek Dalaman

Bertugas sebagai seorang Arkitek Dalaman memerlukan komitmen yang tinggi dan pengalaman yang luas. Justeru, saya amat sibuk ketika bekerja. Harus memastikan semua agenda termasuk drawings, meeting, material selection dan sebagainya berjalan dengan lancar. Namun, kewibawaan adakalanya tercabar apabila di isi dengan pelbagai dugaan termasuklah penghantaran beberapa projek dalam waktu yang sama. Pada pendapat saya, antara arkitek dan arkitek dalaman, keduanya saling memberikan cabaran dengan cara tersendiri.

Ketika Final Degree Presentation
Projek : FINAS Films Gallery

Kerjaya saya mencabar kerana segalanya begitu details. Bukan memilih langsir ataupun jenis lilin wangi untuk dibakar, bahkan lebih kepada intrepretasi ruang dalaman sesebuah bangunan. Misalnya perlu menghubungkait antara ruang tamu ke dapur, ke bilik tidur mahupun ke ruang tingkat atas. Segalanya perlu diperhati daripada kemasan lantai, kesesuaian jenis pelapik dinding dan juga bentuk siling. Namun, kegembiraan akan terpancar sebaik sahaja hasil projek itu siap dan mengikut apa yang dirancang.

Pereka Grafik / Laman Web

Minat terhadap rekaan grafik bermula sejak kecil lagi. Ibu pernah berkata, saya sangat suka menonton iklan! Pelikkan? Selalunya kanak-kanak gemar menonton kartun tetapi saya lebih suka mengulang tape berisi iklan yang telah dirakam oleh ibu ketika berusia dua tahun. Oleh itu, saya mula berjinak dengan dunia grafik dan laman web sejak berada di sekolah menengah sehingga saya berjaya memasuki saringan akhir Pertandingan Laman Web Kebangsaan bersama sekumpulan kawan-kawan.

Kenangan yang terbentuk membawa saya mencari pengalaman yang lebih luas. Saya bermula bersama sebuah kelab peminat seorang artis tempatan pada tahun 2004. Ketika itu mereka mencari seorang pereka web untuk menyokong laman web artis tersebut. Ketika ini saya mula serius dengan kerjaya sambilan kerana ianya menyeronokkan, apatah lagi mengenali pelbagai ragam manusia. Pelbagai peristiwa telah membuat saya matang dalam menempuhi kehidupan dunia yang semakin mencabar ini.

Pengurus Projek

Saya masih bersama kelab itu sehingga sekarang. Mengenali artis yang berada di dalam dunia hiburan, banyak mematangkan saya kerana saya menyaksikan sendiri pahit getir mereka untuk bertarung dalam bidang hiburan yang dipenuhi onak ranjau. Secara tak langsung, saya banyak belajar untuk tabah dalam membentuk jatidiri. Justeru, saya banyak abadikan kisah belakang tabir dunia hiburan kerana tidak semua orang terlibat di dalam bidang tersebut dan saya hanya mahu berkongsi dengan pembaca.

Dengan kelab ini, saya banyak belajar selok belok menguruskan projek. Ia sebenarnya memberikan keseronokan tersendiri. Cara begini menghilangkan tekanan kerjaya tetap saya. Tambahan pula, saya berpeluang mengenali ramai orang dan secara tidak langsung, dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan memberikan ilham tersendiri apabila mahu menulis. Lebih banyak kita mengenali dunia, lebih banyak kisah yang kita tahu untuk dijadikan pengajaran.

Lama kelamaan, saya sedar, mereka hanyalah insan biasa yang punya cita-cita seperti kita semua. Ketegaran, ketabahan diri dalam menempuhi liku sebagai anak seni membuatkan saya bersyukur, hidup ini hanyalah sementara dan setiap masa yang terluang perlu diisi dengan sebaik mungkin. Imbangkan dunia dan akhirat, insyaALLAH segalanya pasti akan berjalan dengan lancar.

Kesimpulan
Apapun kerjaya yang kita lakukan, yang penting adalah keikhlasan dan tawaduk dalam melakukannya. Biar apapun kata orang, hanya kita yang tahu apa yang kita lakukan atau mahukan. Beristiqamahlah dalam setiap perkara yang kita buat, semoga ianya akan memberi keberkatan dan keredhaan daripada Yang Maha Esa. Jika kita mahu berjaya, jangan takut untuk mencuba. Jika kita mahu dikenali, jangan takut untuk jatuh dan berdiri kembali.

Sekadar Coretan Untuk Dikongsi,
Weeda Airiza
Usaha Dengan Kesungguhan, Doa Bersama Ketaqwaan, Tawakal Dalam Keredhaan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS