2018_allkarya

Bermula Daripada Pena Penghujung Mata, Dia Mula Mencetus Ilham Dan Menyusun Kata. Setiap Lorekan Mengandungi Bicara Yang Terkandung Seribu Satu Rahsia. Hanya Di Sini Dicurahkan Rasa Hati, Pendapat Peribadi Tentang Hakikat Duniawi Dan Di Sana, Alam Yang Kekal Hakiki.


- Weeda Airiza -



Profil

Saya hanyalah seorang insan biasa, khalifah Allah SWT di muka bumi ini yang meminati dunia penulisan sejak kecil lagi. Nama sebenar saya adalah Nazratul Waheeda Binti Nadzri dan lahir di Kuantan, Pahang pada 11 Zulkaedah 1404 bersamaan dengan 8 Ogos 1984. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman, UiTM Shah Alam dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik.

Novel remaja bercorak pengetahuan, iaitu 'Penyesalan' merupakan titik pertama saya bergelar seorang penulis. Ketika ini, nama pena saya adalah Nazweena Nazree. Novel ini diterbitkan pada tahun 2004, ketika saya masih lagi bergelar pelajar universiti. Walaupun sibuk dengan kuliah, minat saya dalam bidang penulisan tidak pernah padam tetapi dek kerana kesibukan yang dialami sebagai seorang pelajar arkitek, telah menyebabkan penumpuan terhadap bidang penulisan menjadi sedikit perlahan.

Namun, pada tahun 2011, buku kedua saya 'Nyanyian Syahdu' iaitu novel sulung bercorak percintaan diterbitkan oleh ALAF 21 dan ketika ini, saya menukar nama kepada Weeda Airiza, cetusan idea daripada bonda tersayang. Syukur alhamdulillah, saya mula menjadikan kerjaya penulis ini sebagai hobi masa lapang dan pada tahun 2012, buku ketiga 'Sayang 3 Dalam 1' yang juga terbitan ALAF 21 mula mendapat tempat di hati para pembaca novel. Kali ini saya pertaruhkan genre bercorak komedi romantik.

Alhamdulillah, selepas mendapat sambutan yang sangat positif daripada pembaca tentang novel tersebut, saya mempertaruhkan pula 'Cinta 2U Dot My'. Bezanya, jalan cerita novel ini berkisar tentang cinta kampus, di antara suasana alam realiti dan fantasi. Dalam masa yang sama juga, saya cuba memberanikan diri menghasilkan sebuah novel remaja, 'Jiranku Mr Cendawan!', juga daripada penerbitan Grup Buku Karangkraf. In shaa Allah, kini saya juga sedang mengumpulkan pelbagai maklumat untuk cuba menulis sebuah buku motivasi ringan untuk remaja.

Apa yang saya lakukan sekarang adalah semata-mata kerana Yang Maha Esa. DIA memberikan bakat yang ada supaya saya dapat menyemainya menjadi tinta-tinta penulisan yang boleh dijadikan salah satu cabang ilmu pengetahuan untuk dicurahkan buat pembaca yang disayangi. Cita-cita saya, tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk sama-sama berkongsi pelbagai pengalaman kehidupan yang berlaku di sekeliling saya yang seterusnya saya carumkan menjadi sebuah buku.

Terima kasih kerana terus menyokong dan membaca karya milik saya. Semoga Tuhan memberkati setiap bait kata yang telah saya ikhlas coretkan untuk pembaca semua supaya apa yang dibaca itu dapat mendatangkan manfaat, rujukan atau pengalaman baru.

Salam kenal untuk semua :) Jazakallah Khairan Kathira.

ARTIKEL DALAM AKHBAR
13.05.2012 - Sayang 3 Dalam 1 : Kisah Si Anak Bongsu, Taruhan Weeda Airiza 
03.09.2012 - Bicara Isnin : Isu Novel Lucah, Pendapat Penulis 

TELEVISYEN
15.03.2012 - Slot Resensi Buku, Selamat Pagi Malaysia, RTM
01.05.2013 - Temuramah Live, Wanita Hari Ini sempena Pesta Buku PBAKL

RADIO
29.11.2012 - Novel di Putra, Putra FM - Universiti Putra Malaysia
25.04.2013 - Bicara Buku, MySuara FM

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS